Friday, November 12, 2010

malu dengan gaya hidup ibu

kadang kala anak-anak tak paham apa kehendak ibu mereka ATAU ibu yang buat-buat tak paham?
MALU DENGAN GAYA HIDUP IBU
Saya punyai ibu yang moden dan agak sosial. Kehidupan sosial ibu bermula setelah ibu ditinggalkan suami. Sejak itu, kehidupan kami sekeluarga mula huru-hara. Saya sering memberontak dengan sikap ibu yang gemar mengunjungi pusat karaoke. Ini kerana adik-adik yang masih kecil terbiar setiap kali ibu ke sana. Sedihnya adik perempuan saya yang ketika itu berusia 14 tahun turut terikut-ikut dengan perlakuan ibu.

Untuk pengetahuan semua, hidup kami sekeluarga cuma bergantung kepada nafkah yang ayah kirimkan setiap bulan selepas bercerai dengan ibu ketika kami masih kecil lagi. Kini ayah tinggal di seberang menjaga ibu bapa yang semakin uzur. Hanya saya yang masih bersekolah ketika itu. Sebenarnya dari kecil, kami adik-beradik sudah dididik betapa besarnya dosa derhaka kepada ibu. Atas didikan itu, kami adik-beradik faham tentang syurga di bawah telapak kaki ibu.

Selain suka ke karaoke, ibu juga seorang perokok. Malah suka berpakaian seperti gadis muda, bermini skirt, seluar pendek dan sebagainya. Orang kampung heboh bercerita tentang ibu, namun ibu buat tak endah. Kami kuatkan hati, memohon pada ibu agar berubah tapi malangnya ibu melenting. Katanya, dia tak kisah jika orang bercerita mengenai halnya tetapi ibu tidak dapat terima jika anak-anak tidak dapat terima dan malu dengan caranya. Ibu membuatkan kami serba-salah dan terpaksa mendiamkan diri.

Sehinggalah terjadinya tragedi yang mengaibkan kami sekeluarga. Adik perempuan saya yang pada mulanya mengikut ibu ke sana ke mari, menjadi semakin liar. Dan kemudian adik berebut lelaki yang sama dengan ibu. Sudah semestinya lelaki itu memilih adik yang masih muda dan bukannya ibu. Hal ini membuatkan ibu sangat kecewa dan sering memukul jika adik keluar bersama lelaki tersebut.

Keadaan menjadi semakin runcing setelah adik mula tidak balik ke rumah. Setelah beberapa bulan, ibu masih tidak mahu mencari adik malah namanya sering disumpah seranah oleh ibu. Sehinggalah suatu hari, kami dapat berita dari seorang jiran yang mengatakan adik sudah meninggal dunia. Rupa-rupanya adik pergi dalam keadaan tragis. Mayatnya dipenuhi darah dan kesan lebam di tubuh. Pihak polis dan doktor hanya mengesahkan adik terjatuh di bilik air dalam keadaan hamil tiga bulan tanpa melibatkan apa-apa kesan jenayah. Kami berusaha mencari keadilan tetapi dalam kekalutan itu, ibu seperti rasa tidak bersalah dan sering kali menyalahkan arwah adik mengenai kejadian yang telah berlaku. Saya teramat kecewa dengan sikap ibu. Saya jelaskan kepadanya, perkara itu bukan salah adik seorang tetapi kita semua termasuk ibu. Hal ini membuatkan ibu marah dan menyumpah seranah saya pula.

Dalam kekalutan itu, saya bertemu suami yang usianya lebih 20 tahun dari saya. Saya nekad berkahwin dengannya dalam usia baru lepas SPM. Ayah dan ibu pada mulanya menentang. Ibu mula terima apabila suami pandai ambil hatinya dengan membantu membeli barang keperluan rumah. Namun ibu semakin ghairah, saya sering kali didesak agar meminta duit suami untuk belanja ibu keluar bersama kawan-kawannya.

Ada ketikanya, saya tidak berikan duit kerana tidak mahu bersubahat tetapi ibu pantas mengatakan, apabila hatinya terguris sahaja bermakna saya adalah anak yang sentiasa akan dilaknati Tuhan sehinggalah saya diampuni oleh ibu sendiri. Keadaan ini membuatkan saya serba salah dan memujuk suami agar mengikut kehendak ibu.

Bila suami masuk meminang dahulu, ibu letak hantaran RM10,000 di mana kesemua wang hantaran itu mesti jadi miliknya tanpa tolak belanja perkahwinan saya. Saya dan suami mengalah dan kami berjimat cermat untuk kenduri. Apa yang mengecewakan saya, ayah langsung tidak dapat sesen pun duit hantaran sedangkan ayahlah yang beri nafkah setiap bulan.

Ibu mula bangkitkan setiap sen yang dikeluarkan untuk membesarkan saya, melahirkan saya, makan pakai saya dan kata-kata itu membuatkan saya kecil hati dengan ibu dan mendiamkan diri sahaja. Kini ibu telah berkahwin lagi. Masalahnya saya dan kakak sama-sama segan dengan suami kami dengan kerenah ibu tambahan pula kami berdua
cuma suri rumah. Kami selalu diminta memberi wang untuk perbelanjaan rumah hatta membeli rokok untuk ibu dan suami barunya malah adik lelaki saya yang kini cuma menganggur. Pernah abang ipar bertanya, belanja diberi ketika kakak balik berpantang di rumah ibu meningkat dan dia akhirnya bawa isterinya balik ke rumah untuk dijaga sendiri.

Apakah hak seorang anak? 
Adakah anak dijadikan Tuhan supaya tidak berperasaan? 
Bagaimana untuk menjadi anak yang baik sekali gus tidak mengguris hati ibu? 
Bila saya bersuara dengan nada yang rendah, tapi kalau ibu masih sakit hati juga, adakah saya anak derhaka juga? Walhal saya berkata benar, kenyataan dan saya perlu bersuara. Jika hanya berdiam diri dan dalam masa yang sama ibu masih terasa hati, dikira derhaka jugakah? Jauh di sudut hati saya ingin seorang ibu punya naluri keibuan yang mulia. Terus terang saya katakan, hati saya terasa amat tawar dan jauh buat ibu kerana dia bukan ibu yang saya kenali dahulu.

**kengkawan.. sekadar berkongsi perasaan duka seorang sahabat... mungkin ada diantara kita mengalami situasi yang sama cuma berlainan keadaan.. sape tau kan?

# pertanyaan dee, Apakah pendapat korang semua tentang hal ni?

No comments: